[ Nasihat Abang Driver ]

Alhamdulillah Syukur ke hadrat Ilahi kerana limpah dan kurnia-Nya aku telah berjaya menamatkan pelajaran ku di varsiti tercinta di Kuala Lumpur. Sebagai seorang anak perantau dan juga anak kampung yang jauh datang menuntut ilmu, adalah menjadi kebanggaan bagi diriku kerana dapat menimba pengalaman dan ilmu yang bermanfaat untuku di masa hadapan. Setelah selesai aku mendapat keputusan untuk semesterku yang terakhir aku menarik nafas lega seketika dengan mengenangkan diriku yang dulunya nampak teruja memulakan kehidupan di universiti. Belum sempat aku menikmati kenikmatan menarik nafas lega, aku mula berpikir untuk mencari pekerjaan yang mana peringkat ini merupakan peringkat yang paling sukar bagi seorang graduan. Sukar bukan kerana tiadanya pekerjaan tetapi sukar untuk memulai pekerjaan dan juga masih dalam belenggu dilema dengan pelbagai persoalan yang menjadi tanda tanya. 
Penentuan sama ada untuk mencari pekerjaan atau berehat seketika ataupun menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi hampir membuatku jatuh ke arah kemurungan. Aku sentiasa bertanya pada diriku hampir setiap hari "Aku mau jadi apa?" dan "Apa yang aku mahukan?". Perkara ini timbul mungkin kerana aku tidak mengatur misi dan visi ku dengan baik. Aku juga tidak meletakkan satu kesungguhan untuk apa yang aku patut jadi di masa hadapan. Aku hanya mampu cakap "Aku minat management" bila kawan bertanya, tapi kata itu tidak hadir dari hati. Oleh itu, aku memberi masa pada diriku untuk mencari apa "will" aku dan apa yang sebenarnya aku mau jadi.
Ditakdirkan aku menemui seorang hamba Allah S.W.T yang merupakan pemandu bas bagi satu program yang aku sertai di varsiti. Aku bercerita dengannya dengan memperkenalkan diriku siapa dan aku berasal dari mana serta aku juga kata yang aku sedang mencari pekerjaan kerana baru sahaja mendapat pengesahan yang aku bakal bergraduasi. Ketika bercerita dengan beliau terdapat beberapa nasihat yang aku rasa memahat di pikiranku. Beliau berkata bila baru sahaja habis belajar kita seharusnya mencari waktu bertenang dan menyiapkan diri kerana untuk bekerja kita tidak boleh terlalu terburu-buru. Kata kunci yang aku dapat daripada perbincangan kami ialah pastikan diri bersedia untuk bekerja, baru cari kerja sebab untuk memulakan suatu pekerjaan yang pertama dalam hidup kita tidak semudah yang dipikirkan. Perkara itu membuat aku menjadi tertanya-tanya pada diriku "Adakah aku bersedia?" atau "Aku terburu-buru?" hingga tidak dapat berfikir dengan tenang. 
Pengajaran yang aku dapat ialah sebelum memulakan kerjaya hidup ini pastikan kita bersedia dan buat keputusan terbaik untuk diri kita. Jangan terburu-buru dalam semua perkara dalam hidup ini kerana jika kita terburu-buru mengejar sesuatu pasti akan ada sesuatu yang kita terlepas pandang yang mana mungkin sesuatu itu memberi impak yang kurang baik pada diri kita dan orang lain. Pastikan kita membuat perancangan hidup dan kita tahu apa kita patut buat. Ya, aku masih baru dalam situasi begini dan aku belum matang melihat situasi sebegini mungkin ianya sesuatu yang aku patut lalui untuk persediaan di masa depan. Terima kasih Ya Allah untuk pengalaman ini.

Sentiasa berikan yang terbaik,
guguknazmin

Comments

Popular posts from this blog